Di sebalik niqab berwarna hitam itu, ada sepasang
mata yang terlihat dan melihat. Dihujani ribuan pandangan aneh. Terasa begitu
asing. Perbezaan yang serta-merta dapat dirasai menusuk segenap hati apabila
diperhatikan berpakaian yang serba menutup sebegitu berbanding kebiasaan sering
terdedah. Mata-mata yang seakan bersuara melahirkan simpati. Seharusnya, pada
era fesyen ini segala trend jadi ikutan. Namun, bukan dia.
Ada
yang merasakan dirinya berpakaian seperti tawanan. Setiap langkah mereka
beriramakan suara yang berdesas-desus layaknya seperti juri yang menghakimi.
Tatkala pilihan fabrik penuh warna-warni yang menarik, masih ada yang
mahu tampak serba pudar sepertinya.
"Jadi,
inilah perubahan baru yang awak katakan antara simbolik bagi erti 'kebebasan'
sebenar seorang wanita? Sememangnya perubahan yang benar-benar drastik,
Fatihah! Tapi sejujurnya ini memang kebebasan yang lari daripada kebiasaan.
Sungguh!" Kening Maisarah terangkat sedikit. Terkejut melihat
sahabatnya berpakaian sedemikian. Jika bukan kerana Fatihah yang menyapanya
terlebih dahulu, sudah pasti dia tidak mengenali gadis di hadapannya tadi.
"Absolutely, this is total freedom for me and my
soul! I had never felt this kind of feeling before but now I know how it
actually feels like. Peace and modesty. Saya
dapat rasakan hati saya lebih selamat dan setiap pandangan yang melihat diri
saya seperti refleksi dan reminder untuk mengingatkan siapa diri saya sebenarnya
– hanya seorang hamba Allah," ujar Fatihah penuh bersemangat.
Senyuman
yang terukir di sebalik kain yang menutup sebahagian wajahnya terserlah pada
sinar matanya. Dia jauh lebih kemas dan berbeza daripada Fatihah yang dikenali
sebelum ini. Kadangkala terfikir, betapa 'pakaian' bukan sahaja mampu mengubah
pandangan segenap manusia terhadap si pemakai malah mengubah cara si pemakai
itu sendiri memandang dunia.
"Awak
tahu tak, pandangan mereka sangat menakutkan? Awak lebih banyak menarik
perhatian dengan berpakaian sebegini. Ingat, ini bukan budaya kita seperti di
tanah Arab tu. Tentulah mereka rasa janggal bila tengok awak. Malah, tak
hairanlah mereka cenderung merenung awak." Maisarah masih kekok apabila
hampir setiap orang yang lalu-lalang di pusat beli-belah memusatkan pandangan
pada mereka berdua, khususnya Fatihah. Agak janggal duduk berdua dengan Fatihah
sedangkan dirinya jauh berbeza.
"Kenapa
perlu takut dipandang dengan pandangan aneh? Saya lebih takutkan Allah. Saya
takut kalau-kalau pandangan mereka pada saya membuatkan Allah murka pada saya.
Semua pancaindera ini pinjaman daripada Dia. Jadi, aurat saya juga
tanggungjawab saya. Bukan niat saya mahu menarik perhatian atau menjadi bahan
tarikan sedangkan pada dasarnya tidak ada apa-apa yang menarik pun untuk
ditatap – hanya kain biasa yang tiada potongan.
"Saya mahu menjaga hati kecil ini
daripada terus dizalimi dan menzalimi diri sendiri. Bukan kerana terikut budaya
atau apapun. The
truth is I am trying to dress for Allah and not for humans." Kelihatan air matanya bergenang. Sebak.
Dalam diri Maisarah mengakui keberanian
Fatihah berhadapan insanity di sekitarnya dengan perubahan yang dibuat. Air
mata di sebalik niqab itu terasa begitu mahal apabila tiada siapa yang melihat
dan menyedari.
"Apa
maksud awak dengan menzalimi dan dizalimi diri sendiri?"
"Saya
sudah letih, Mai. Letih menjadi seorang yang seperti tercari-cari identiti.
Letih bergantung kepada sesuatu untuk mengejar tumpuan. Letih untuk membanding
dan mengukur 'kecantikan'. Hati pula mudah riak dengan pakaian yang dipakai.
Malah, pujian yang diberi hanya kerana kecantikan dengan 'make-up' yang sementara
dan segera hilang walau terkena air.
"Saya
menzalimi diri sendiri kerana berani mencuba sesuatu yang di luar syariah hanya
kerana mahu tampil berbeza dan cantik di pandangan mata manusia. Malah
menzalimi keluarga dan orang lain kerana memberi saham dosa dengan aurat yang
terdedah. Hati saya juga bagai dizalimi kerana tanpa sedar mengukur dan
mengejar segala yang sementara. Bukankah Islam mengajar umatnya untuk
bersederhana?" soal Fatihah.
"Betul
juga. Media dan majalah di luar sana mendefinisikan cantik itu dengan cara
mereka. Fesyen pula berpusat kepada menjadi atau mencuri tumpuan. Kita
dikelilingi dengan persekitaran begini. Kita juga dibentuk dengan stigma yang
mengikis rasa takut pada pandangan Allah berbanding pandangan manusia.
"Tapi,
bukan mudah untuk lari daripada kebiasaan. Bukan mudah untuk berkorban dan
bertahan dengan pakaian yang serba labuh dan menutup hampir seluruh tubuh kita
pada zaman ni. Masih banyak etika yang perlu dipatuhi," kata Maisarah yang
mulai akur sudut pandang Fatihah.
"Islam
itu kan mudah, jadi usah diberatkan dan jangan ambil mudah. Jadilah hamba
Allah. Bersederhana dan berniat segalanya kerana mencari redhaNya. Apa pakaian
sekalipun yang mengikut syariah dan berpaksi kerana Allah pasti mendapat
redhaNya, insya-Allah. Masing-masing punya cara sendiri tapi aurat kita sebagai
wanita adalah tanggungjawab kita dan amanah daripada Allah. Berubah itu payah
tapi jika dilakukan kerana Allah pasti segala susah dipermudahkan dengan
hikmahNya," terang Fatihah.
"Tapi
kan Fatihah, awak tak risau ke? Kalau awak selalu keluar berpakaian macam
ni, nanti tiada seorang pun kaum Adam yang berani nak pandang apatah lagi
mendekati awak. Tak kahwin dibuatnya!" Ada nada humor pada bicara Maisarah
itu, namun ia sinis.
"Ish,
awak ni. Bukankah lebih selamat begitu? Setidaknya lelaki yang mahu menikahi
saya bukan kerana memandang kepada kecantikan semata-mata. Cukuplah bila dia
mengingati Allah apabila memandang saya. Yakinlah seperti firman Allah dalam
AlQuran, surah An-Nur ayat 26 yang menyatakan lelaki yang baik untuk perempuan
yang baik dan begitu juga sebaliknya.
"Tidak
semestinya orang yang menutup aurat semuanya baik. Tetapi sekurang-kurangnya
mereka berusaha menjadi baik. Tidak semua orang yang tutup aurat dengan
sempurna. Tapi mana yang kurang sempurna kita beri tunjuk ajar dengan berhemah,
bukan menghina. Beri peluang dan ruang untuk mereka berubah kerana Allah
sentiasa beri kita peluang bernafas percuma. Allah sukakan kebaikan, jadi tak
salah kita berubah menjadi lebih baik dan suka kepada kebaikan," bicara
Fatihah.
"Sekarang
saya faham sedikit sebanyak 'kebebasan' yang awak maksudkan tu. Saya pun
terdetik nak berubah kerana Allah. Alhamdulillah, banyak yang saya belajar
dengan awak hari ini," ujar Maisarah.
"Ya,
kebebasan minda dan jiwa mengikut syariah tanpa perlu dibatasi stigma bercorak
barat. Alhamdulillah, saya hanya perantara kerdil, Mai. DIA yang lebih utama.
Kita semua hamba Allah dan selayaknya memiliki jiwa hamba. Persamaanlah yang
menyatukan kita untuk merasai rahmat dan cinta daripada Allah. Sedikit
perhatian daripadaNya lebih hebat daripada segala pujian dan perhatian yang ada
di dunia."
Bicara Fatihah membuatkan Maisarah
terdiam sejenak dan berfikir sedalamnya, sambil memerhatikan pakaian labuh dan
kain yang menutup wajah Fatihah. Kebebasan. Itu bisikan ke dalam sudut hati kecilnya. Maisarah
tersenyum. Mulai hari ini dia belajar bukan sekadar melihat dunia tetapi cuba
menghayati cinta Allah kepada hambaNya.
Hati
kecilnya mengakui ketabahan wanita-wanita yang memakai niqab. Pengorbanan yang
besar di mana kemanisannya kerana Allah semata-mata. Di sebalik 'belenggu'
hijab dan niqab, ada kebebasan hakiki dan yang paling penting, cinta Allah.
Masya-Allah!
Biodata Penulis
Nurrul Alifah Awg Norjalim merupakan seorang penulis. Antara cerpen yang
pernah ditulis oleh beliau ialah Nafas
Cinta Insyirah, Jihad Cinta Damia dan Hijab Cinta Annisa. Beliau menulis sambil mujahadah dan musahabah
diri di http://menulisdalamgelap-pensel.blogspot.com/
Semoga Allah sentiasa memberkati kalian...
Semoga kisah ini serba sedkit memnberi iktbar dlm dri kita...InsyAllah...
Semoga impianku utk berniqab akan tercapai...Aammiinn...
Berusaha mncapai redha Ilahi...InsyAllah...
No comments:
Post a Comment